Thursday, July 8, 2010

pengenalan pentaksiran dalam pemulihan

Pentaksiran adalah suatu bidang yang tidak dapat dipisahkan daripada dunia pendidikan khususnya dalam bidang pendidikan pemulihan.

Segala keputusan yang dibuat dalam pendidikan pemulihan berkait rapat dengan maklumat yang dikumpulkan melalui proses pentaksiran.

Maklumat diperlukan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh seseorang murid itu.

Bagi menjalankan pengajaran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid, guru memerlukan maklumat yang dikumpul melalui pelbagai cara pengujian atau kaedah lain.

Apabila pengajaran dan langkah2 yang dianggap wajar telah dilaksanakan, guru perlu menilai keberkesanan perancangan dan pengajarannya.

Definisi

* Pentaksiran dalam konteks pemulihan khas boleh didefinisikan sebagai satu proses mengumpul maklumat untuk tujuan membuat keputusan.

Kepentingan Pentaksiran dan Penilaian Dalam Pemulihan Khas

Dalam pemulihan khas terdapat banyak keputusan yang perlu dibuat oleh guru dan ahli professional lain yang terlibat dalam perkhidmatan kepada murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran.

Keputusan perlu dibuat dengan teliti supaya pengajaran dan perkhidmatan yang disediakan adalah wajar dan bersesuaian dengan masalah dalam pembelajaran yang mereka hadapi.

Antara keputusan yang perlu dibuat termasuklah :

1. Siapakah di antara murid di sekolah anda yang mungkin menghadapi masalah dalam pembelajaran dan perlu disediakan dengan pendidikan pemulihan?
2. Apakah jenis masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan tersebut dan apakah kelemahan dan kekuatan murid tersebut?
3. Prestasi dalam bidang apakah yang terjejas akibat masalah-masalah yang dihadapinya?
4. Apakah jenis penempatan pendidikan pemulihan yang sesuai untuk murid tersebut dan apakah kemahiran-kemahiran yang perlu diajar kepada murid tersebut?
5. Apakah perkhidmatan khusus yang perlu disediakan untuk membantunya mencapai kemahiran-kemahiran yang diajar pada tahap optimum?
6. Adakah nampak keberkesanan selepas pengajaran dan perkhidmatan disediakan?
7. Adakah program pengajaran yang telah disediakan perlu diteruskan atau digantikan dengan sesuatu program yang baru atau pelajar tersebut diletakkan semula dalam arus perdana.

Semua keputusan yang tersebut di atas dapat dibuat dengan bijak dan tepat dengan bantuan maklumat yang telah dikumpul melalui proses pentaksiran dan penilaian.

No comments:

Post a Comment